CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Jun 2, 2011

KELAHIRAN YANG DINANTI..

Tanggal 16.02.2011 genap usia kandunganku 37 minggu 4 hari....terasa semakin tidak sabar untuk menatap wajah yang dikandung ini. Segala persediaan dan persiapan untuk menyambut kelahirannya telah dibuat dengan rapi dan teliti. Bukan sahaja dari persiapan barang-barang keperluan, malah persiapan fizikal dan mental juga telah aku dan hubby lakukan. Ini kerana pada bila-bila masa sahaja aku boleh melahirkan.

Pada 17.02.2011 aku mendapati kaki ku semakin membengkak dan terasa berat untuk berjalan. Aku menghubungi hubby dan menyatakan hasratku untuk ke hospital pada sebelah malam. Hubby bersetuju dengan cadanganku. Sebaik pulang dari tempat kerja, kami terus ke hospital. Aku telah diarahkan untuk ke bilik saringan bersalin. Di sana jururawat telah menjalankan segala pemeriksaan yang biasa dijalankan ke atas ibu-ibu mengandung. Dari pemeriksaan air kencing, tekanan darah, berat badan dan seterusnya CTG. CTG merupakan proses ultrasound untuk mengira pergerakkan kandunganku dan kebarangkalian bila aku akan bersalin. Lama juga aku di situ. Akhir sekali doktor telah menjalankan pemeriksaan krbukaan serviks. Alangkah terekejutnya aku apabila doktor menyatakan aku boleh melahirkan pada hari esok dan mengarahkan aku untuk 'admit' ke dalam wad. Aku keluar dari bilik saringan sambil tersenyum kepada hubby. Dia juga terkejut. Tapi dengan segara mengambil segala barangan keperluanku yang telah disediakan di dalam kereta. Setelah pendaftaran selesai aku ditempatkan di dalam Wad Bersalin Kelas Pertama Katil 2. Malam itu juga hubby terpaksa balik dan kembali semula ke hospital kerana aku hanya membawa barang keperluanku. Barang keperluan bayi langsung aku tidak bawa.

Jam hampir pukul 4 pagi baru hubby tiba dengan membawa segala keperluan. Dia tidak boleh tunggu lama. Sebaik meletakkan barang-barang terus dia pulang ke rumah. Aku terus cuba untuk tidur namun mata ini tidak mahu terlelap. Jam 5 pagi aku dikejutkan dan jururawat mengambil tekanan darahku dan menyatakan bahawa doktor mahu memeriksa bukaan serviks ku. Aku terus menuju ke bilik rawatan. Di sana doktor telah sedia menunggu. Sebaik pemeriksaan dijalankan, doktor memaklumkan bahawa bukaan ku telah mencapai 3cm. Doktor juga menyatakan bahawa pemeriksaan akan dijalankan sekali lagi pada jam 9 pagi. Aku kembali ke katil dan cuba untuk berehat. Tiada tanda-tanda atau kesakitan yang aku alami setakat ini. Jam 9 pagi sekali lagi jururawat hadir mengambil tekanan darahku dan aku diarahkan untuk ke bilik rawatan. Doktor memaklumkan bukaan telah mencecah 4cm, dan doktor mengarahkan aku ke bilik bersalin dan sebelum itu air ketubanku dipecahkan bagi memudahkan bukaan. Aku dibawa dengan kerusi roda oleh jururawat menuju ke katil untuk mengambil baju bayi dan bajuku. Aku tidak sempat menghubungi hubby kerana segalanya berlaku dengan pantas. Sebaik tiba di dewan bersalin, aku ditempatkan di Bilik No. 14. Di sana sekali lagi mesin CTG dipasangkan bagi memastikan kandunganku sentiasa aktif dan bagi menentukan selang masa berlakunya kontraksi. Aku bertanyakan kepada jururawat yang bertugas siapa yang akan menghubungi hubby ku, dan mereka menjawab pihak wad yang akan menghubunginya. Aku lega.

Jam menunjukkan pukul 1200 tengahari, tapi hubby masih tidak muncul. Kesakitan kontraksi semakin lama semakin sakit ku rasakan. Tepat jam 1230 hubby masuk ke bilik tempat aku ditempatkan. Hubby memberitahu bahawa tiada siapa pun yang menghubunginya dan memaklumkan bahawa aku telah dihantar ke Bilik Bersalin. Kami berborak seketika sehingga kehadiran hubby di bilik tersebut ditegur oleh jururawat bertugas yang memaklumkan bahawa hubby hanya boleh berjumpa ku hanya tempoh 5 minit sahaja. Aku kembali ditinggalkan keseorangan.

Jam 1300 petang, seorang doktor bertugas masuk ke bilik aku. Dia memaklumkan akan menjalankan pemeriksaan bukaan serviks ku sekali lagi. Aku hanya mengangguk lemah. Sebaik pemeriksaan dijalankan, doktor memaklumkan bukaan ku mencecah 5cm. Sekian lama menanti, hanya 1cm sahaja. Aku semakin lemah melawan kesakitan kontraksi yang semakin kerap menyerangku. Setiap kali kontraksi menyerang, aku seperti mahu kehilangan nyawa. Sakitnya bukan kepalang. Tidak dapat digambarkan kesakitan tersebut dengan perkataan. Namun apakan daya, aku hanya berserah kepada-NYA.

Jam 1600 petang, hubby masuk sekali lagi. Kali ini, tiada senyuman yang dapat kuberikan. Tiada perkataan juga yang dapat aku tuturkan. Hanya airmata yang menyambut kehadiran hubby. Kesakitan kontraksi membuatkan aku hilang upaya untuk senyum dan berkata-kata. Hubby hanya mampu melahirkan kata-kata kasihan melihatku yang kelemahan. Namun dia tetap memberikan kata-kata semangat agar aku terus kuat demi diri dan anak yang masih di dalam rahimku ini. Aku mengangguk. Sebelum keluar, hubby memberikan ciuman semangat. Aku tersenyum lemah.

Jam 1800, sekali lagi doktor bertugas masuk untuk menjalankan pemeriksaan. Sebaik mengetahui bukaan serviks ku tidak berganjak dari 5cm sejak tengahari tadi, beliau menasihatkan agar aku dibedah demi keselamatanku dan anakku. Doktor memberikan aku masa 2 jam lagi, iaitu sehingga jam 2000 malam. Dan sekiranya bukaan serviksku masih kekal sama, kelahiran secara pembedahan 'caesar' akan dijalankan ke atasku. Doktor meminta agar hubby dan keluargaku dimaklumkan berkenaan hal tersebut. Aku tidak mampu berkata apa. Dan terdetik juga di hatiku, sekiranya aku berpeluang untuk bersalin secara normal aku pasti yang aku tidak mampu untuk meneran. Ini kerana tenagaku telah habis menahan kesakitan kontraksi yang setiap 5 minit menyerang.

Jam 2000 malam, hubby masuk ke bilik ku. Dia hadir bersama jururawat yang menjaga ku. Rupanya dia telah dimaklumkan tentang keadaankku dan bersetuju agar pembedahan dijalankan ke atasku. Hubby hadir untuk mengambil pakaian ku dan juga baby. Kemudian hubby keluar meninggalkan aku bersama-sama jururawat yang akan menjalankan beberapa prosedur sebelum pembedahan dijalankan. Tiub salur air kencing di pasang. Kemudian air botol ditambah. Begitu juga dengan ubat pencetus kontraksi. Aku hanya pasrah.

Jam 2130 malam, aku diusung ke Dewan Bedah. Aku tidak pasti di mana hubby. Aku hanya perasan hubby ada bersamaku sebaik melangkah masuk ke dalam lif. Tiada lagi senyuman di wajahku. Hanya doa yang mampu aku lafazkan agar aku dan anakku selamat. Sebaik tiba di Dewan Bedah, jururawat bertugas memaklumkan kepada hubby supaya menunggu ku di wad sahaja. Hubby menjadi serba salah. Mungkin risau meninggalkan aku sendirian. Sebelum ditolak masuk ke bilik bedah, hubby memberikan aku ciuman semangat. Aku kesedihan melihat hubby semakin jauh....

Di dalam dewan bedah doktor telah bersedia untuk melakukan pembedahan. Pakar yang bertanggungjawab membius juga telah bersedia untuk menjalankan tugasnya. Aku yang telah sedia ada di atas katil pembedahan sangat berdebar-debar. Tapi aku cuba menenangkan fikiran dan berharap segalanya akan berjalan dengan lancar dan kami selamat. Aku yang sememangnya sangat keletihan kerana menahan kontraksi sejak pagi tadi sangat tidak berdaya. Aku juga tiada tenaga memandangkan tidak diberikan apa-apa makanan sejak tengahari tadi. Aku terasa sangat-sangat mengantuk. Aku cuba bertahan kerana ingin menantikan kelahiran anakku. Dalam pada aku berkeadaan mamai, aku terdengar sayup-sayup suara tangisan bayi. Aku gagahkan diri untuk membuka mata dan tertanya-tanya adakah itu suara anak yang dikeluarkan dari kandunganku? Aku hanya menunggu. Datang seorang jururawat menunjukkan kepada aku untuk pertama kalinya puteri kesayanganku....aku hadiahkan kepadanya ciuman pertamaku. Alhamdulillah dia selamat. Jururrawat tersebut memaklumkan kepada ku bahawa puteri ku akan dihantar ke wad dan akan diberikan kepada suami ku yang bersedia menunggu di sana. Aku hanya mengangguk lemah.

Proses menjahit pula dijalankan oleh doktor. Aku sememangnya tidak berasa apa-apa. Tiba-tiba aku terdengar satu suara yang mengejutkan aku...rupanya aku tertidur. Dia memaklumkan bahawa semua telah selamat. Dan aku akan ditempatkan di ruang pemulihan bagi memastikan bahawa ubat bius yang diberikan kepadaku tidak memberikan apa-apa kesan.

Aku berasa sangat bosan di ruang pemulihan tersebut. Aku hanya dapat melihat jururawat dan doktor yang ke sana-sini menjalankan tugas masing-masing. Datang seorang jururawat menghampiriku dan menyuruh aku tidur. Aku cuba untuk tidur tetapi tidak boleh. Dihati dan fikiranku hanyalah PUTERI dan SUAMI ku. Aku tidak sabar untuk menemui mereka. Aku tidak sabar untuk memegang dan membelai PUTERI ku..

Jam 2400 aku di usung keluar dari ruang pemulihan menuju ke wad. Sebaik sampai di wad aku terus meninjau-ninjau keadaan sekeliling mencari suami dan PUTERI ku. Tetapi mereka tiada. Sebaik dipindahkan ke atas katil, jururawat bertugas terus menyalinkan pakaian ku, memakaikan aku dengan pad dan memastikan tekanan darahku stabil. Tidak lama selepas itu suami ku masuk dengan membawa PUTERI kami. Emak dan adik ku juga turut ada bersama mereka. Aku tidak dapat bergerak kerana kesan ubat bius masih belum hilang. Aku hanya mampu memberikan senyuman kepada suami. Tetapi hatiku sangat tidak sabar untuk membelai dan memeluk PUTERI kami. Oleh kerana telah lewat malam, mereka meminta izin untuk pulang. Aku juga yang keletihan terus cuba untuk tidur.

Sebaik di lahirkan.....

Membuka mata di hari pertama....

Selepas dimandikan oleh Auntie Misi...bedak dah macam tepung gomak...

Tiada apa selain tidur dan tidur...

Tidur lagi (hari kedua)....

Selamat sampai di rumah (hari ketiga)....

Selamat tiba di kampung halaman ku (hari keempat)....selamat berpantang....


 

No comments:

Post a Comment